Khamis, 30 March 2017 | 3:57pm

12 ditahan dalam operasi BNM

BANGUNAN Bank Negara. - Foto NSTP
BANGUNAN Bank Negara. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara Jabatan Peguam Negara (NRRET) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen, menyerbu 14 premis di sekitar Lembah Klang, dalam operasi terhadap rangkaian perniagaan perkhidmatan wang haram. 

Sebanyak 14 premis termasuk tiga dikendalikan oleh pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen diserbu selain 12 suspek termasuk lapan warga asing ditahan dan direman untuk tindakan lanjut manakala 23 individu disoal-siasat. 

Bank Negara memaklumkan, dalam operasi bersama ini pihaknya merampas dokumen yang berkaitan perniagaan perkhidmatan premis yang diserbu selain membekukan beberapa akaun bank milik suspek. 

"Pasukan yang melakukan serbuan turut merampas wang tunai Ringgit Malaysia (RM) dan matawang asing, kepingan emas dan kenderaan mewah yang secara keseluruhan dianggarkan bernilai lebih RM18 juta. 

"Premis yang diserbu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA) dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2011 (AMLATFA)," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi. 

Selain itu, mana-mana individu yang menjalankan aktiviti perniagaan perkhidmatan wang seperti pengurupan wang dan pengiriman wang tanpa lesen adalah melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1) MSBA, dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta, penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. 

"Mana-mana individu yang terbabit dengan pengubahan wang haram adalah melakukan kesalahan di bawah seksyen 4(1) AMLATFA dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan, pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. 

Orang ramai dinasihati untuk tidak membuat sebarang urusan pengurupan atau pengiriman wang dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram.

Mana-mana individu yang berurusan dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram melakukannya atas risiko sendiri, dan tindakan undang-undang yang berkenaan oleh pihak berkuasa yang berkaitan juga boleh dikenakan ke atas mereka.

Orang ramai hendaklah berurusan hanya dengan pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen sahaja yang disenaraikan di laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my)

Berita Harian X