Isnin, 27 March 2017 | 1:12pm

Sorok dadah dalam bungkusan roti

DUA lelaki ditahan ketika cuba menyeludup dadah yang disorok dalam sebungkus roti di Kem Syed Sirajuddin, Gemas dekat sini, petang semalam.
DUA lelaki ditahan ketika cuba menyeludup dadah yang disorok dalam sebungkus roti di Kem Syed Sirajuddin, Gemas dekat sini, petang semalam.

TAMPIN: Dua lelaki ditahan ketika cuba menyeludup dadah yang disorok dalam sebungkus roti di Kem Syed Sirajuddin, Gemas dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mereka yang berusia 21 dan 25 tahun dari Pahang, dikatakan melawat rakan mereka yang menjadi tahanan tentera di 14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) kem itu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata pegawai tentera yang memeriksa bungkusan roti di pondok lawatan, menemui dadah yang diselitkan dalam bungkusan itu.

Katanya, dadah itu dikenal pasti sebagai syabu seberat kira-kira 5.82 gram dalam satu paket plastik dan sebiji pil Yaba (sejenis methamphetamine) dalam satu paket plastik lain seberat kira-kira 0.03 gram.

"Mereka dibawa ke Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini dan ditahan mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hamazah berkata, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh, positif menggunakan methamphetamine dan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Berita Harian X