Ahad, 12 March 2017 | 11:05pm

Budak lemas di kolam terbiar

ANGGOTA bomba mengangkat mayat Aiman Zikri Basri, enam tahun, yang ditemui mati lemas di kolam terbiar berhampiran sebuah inap desa di Pantai Chenang, Langkawi. - Foto Ihsan FB Laporan Kemalangan Langkawi
ANGGOTA bomba mengangkat mayat Aiman Zikri Basri, enam tahun, yang ditemui mati lemas di kolam terbiar berhampiran sebuah inap desa di Pantai Chenang, Langkawi. - Foto Ihsan FB Laporan Kemalangan Langkawi

LANGKAWI: Seorang kanak-kanak lelaki lemas selepas dipercayai terjatuh ke kolam terbiar berhampiran sebuah inap desa di Pantai Chenang di sini, hari ini.

Kejadian disedari kira-kira jam 7.30 malam selepas mangsa, Aiman Zikri Basri, 6, dari Kampung Lubuk Buaya, dekat Kedawang, di sini, dikatakan tidak pulang ke rumah selepas bermain bersendirian di kawasan kolam berkenaan.

Difahamkan, pihak bomba yang dihubungi polis sejurus menerima maklumat kemungkinan kanak-kanak itu terjatuh ke kolam berkenaan, segera melakukan pencarian sebelum mayat mangsa ditemui.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 7.39 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, bomba melakukan usaha mencari dan menyelamat di permukaan sebelum menemui mayat mangsa terapung di tepi kolam tinggal berkeluasan kira-kira 0.6 hektar dan kedalaman lebih kurang enam meter.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian manakala mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Berita Harian X