Jumaat, 10 March 2017 | 3:36pm

Ustaz Kazim minta sekat akaun palsu

PENCERAMAH bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias menunjukkan akaun laman sosial miliknya pada sidang media di Ipoh, hari ini. - Foto Muhamad Izzat Nasuruden
PENCERAMAH bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias menunjukkan akaun laman sosial miliknya pada sidang media di Ipoh, hari ini. - Foto Muhamad Izzat Nasuruden

IPOH: Penceramah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat lebih 100 pemilik akaun laman sosial yang didakwa menggunakan namanya.

Mohammad Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, pemilik akaun palsu terbabit mempunyai ramai pengikut hingga mencecah jutaan dan menggunakan namanya bagi kepentingan tertentu.

Ia termasuk menyebarkan hadis palsu dan mengutip derma menggunakan nama sekolahnya, Pusat Pendidikan Al Barakah, di sini.

Katanya, kebanyakan status yang dimuat naik dalam laman sosial palsu itu menjurus kepada keselamatan negara membabitkan isu perkauman, yang boleh menjadi pertelingkahan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Antara yang menjadi viral adalah mengenai pertelingkahan Zakir Naik yang mana beberapa individu melarang beliau memberi ceramah di Malaysia dan dijadikan tempat bertelingkah di laman sosial palsu itu, sedangkan ia bukan akaun Facebook saya.

"Susulan perkara itu, saya membuat laporan di Balai Polis Manjoi pada 2 petang 7 Mac lalu dan satu laporan di SKMM pada hari yang sama pada jam 4 petang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhammad Kazim hanya memiliki satu akaun laman sosial iaitu Facebook menggunakan nama Dato' Ustaz Mohd Kazim Elias dengan jumlah pengikut 1.2 juta.

"Saya rasa hampir 100 pemilik akaun Facebook menggunakan nama saya, antaranya Ustaz Kazim Elias, Kalau Dah Jodoh Ustaz Kazim Elias, Ustaz Kazim Elias Fan Page dan sebagainya.

"Saya bimbang mereka menggunakan akaun palsu ini untuk mengutip dana atau mengumpul derma yang digunakan kononnya untuk membantu sekolah saya dan setiap hari pihak sekolah menerima panggilan telefon bertanyakan mengenai kutipan derma terbabit.

"Tindakan ini saya ambil kerana dibimbangi berlaku unsur penipuan," katanya.

Berita Harian X