Selasa, 7 March 2017 | 3:16pm

11 ahli Geng Halim Dumpil, Geng Telipok tumpas

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman melihat komponen pemancar telekomunikasi, bateri dan kabel elektrik yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Mohd Adam Arinin
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman melihat komponen pemancar telekomunikasi, bateri dan kabel elektrik yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai 11 lelaki dipercayai ahli Geng Halim Dumpil dan Geng Telipok ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes curi komponen pemancar telekomunikasi serta kabel elektrik bernilai RM460,000 di Kota Kinabalu dan Tuaran, pada minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman, berkata semua suspek yang berusia antara 18 hingga 49 tahun ditahan di Putatan, Kinarut, Tenom, Keningau dan Telipok pada 3 dan 4 Mac.

"Semua suspek terbabit dalam dua kes mencuri komponen pemancar telekomunikasi, bateri dan kabel elektrik milik Telekom di Kota Kinabalu serta Tuaran, dengan lima daripada 11 suspek adalah warga asing.

"Rampasan bagi kedua-dua kes itu bernilai RM460,000 dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Polis juga masih menyiasat sama ada suspek yang terbabit dalam dua kes berkenaan adalah berkaitan atau sebaliknya," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra dan Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek.

Dalam perkembangan berkaitan, Salehhudin berkata, susulan penahanan semua suspek, polis turut menahan sepasang suami isteri di sebuah premis besi buruk di Jalan Bantayan Inanam, dekat sini, petang semalam.

"Pasangan suami isteri berusia 30 dan 40 tahun yang juga pemilik premis itu ditahan kira-kira jam 4 petang. Polis turut merampas 55 bateri pelbagai jenama dalam serbuan itu," katanya.

Berita Harian X