Selasa, 28 Februari 2017 | 6:24pm

3 beranak disahkan maut insiden van dilanggar kereta api

KEADAAN sebuah van yang remuk akibat dirempuh kereta api berhampiran Kampung Memanjang, Beaufort, jam 2.40 petang tadi. - Foto ihsan BOMBA
KEADAAN sebuah van yang remuk akibat dirempuh kereta api berhampiran Kampung Memanjang, Beaufort, jam 2.40 petang tadi. - Foto ihsan BOMBA

BEAUFORT: Seorang lagi mangsa disahkan maut, menjadikan tiga meninggal dunia dalam insiden van dilanggar kereta api yang dalam perjalanan dari Stesen Tanjung Aru, Kota Kinabalu ke Stesen Beaufort, dekat Kampung Memanjang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia adalah dari satu keluarga iaitu pasangan suami isteri dan anak perempuan mereka, manakala empat cedera termasuk bayi berumur setahun.

Pasangan suami isteri berumur 50-an itu tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, manakala anak mereka berumur 14 tahun tercampak keluar sejurus van dinaiki dilanggar kereta api.

Ketika kejadian itu, van jenis Toyota Liteace terbabit yang dinaiki tujuh orang dikatakan cuba melintas landasan sebelum dilanggar kereta api penumpang jenis satu gerabak.

Ketua Polis Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan mengenai punca kemalangan masih dijalankan.

Berita Harian X