Isnin, 27 Februari 2017 | 10:48pm

Polis cari 2 suspek kes gaduh di LDP

KERETA yang terbabas selepas melanggar pembahagi jalan di susur Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran Bandar Puteri dekat sini, semalam.
KERETA yang terbabas selepas melanggar pembahagi jalan di susur Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran Bandar Puteri dekat sini, semalam.

PUCHONG: Polis mengesan dua lelaki, dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan di susur Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran Bandar Puteri, dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu membabitkan empat orang mangsa lelaki, dipercayai tukang tunda, ditetak dengan parang.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku satu kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Volkswagen GTI, dipandu oleh seorang lelaki berusia 24 tahun terbabas selepas melanggar pembahagi jalan di susur berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata pemandu kereta berkenaan mendakwa berlaku pergaduhan antara tukang tunda dengan sekumpulan lelaki lain.

"Pemandu berkenaan mendakwa dia tidak mengetahui punca pergaduhan itu berlaku.

"Tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna putih dinaiki beberapa lelaki bersenjatakan parang dan kayu, memukul serta menikam mangsa dan melarikan diri.

"Semua mangsa cedera di tangan, badan,kepala dan kaki akibat ditetak dengan parang dan dipukul menggunakan kayu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, pihaknya telah menahan tiga suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan masih mencari dua suspek lagi.

"Sebuah kereta Perodua Myvi dirampas dan polis turut menahan pemandu berkenaan kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu," katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Pencegahan Jenayah dan semua suspek direman sehingga 6 Mac ini.

Berita Harian X