Isnin, 27 Februari 2017 | 3:57pm

Wan Shades tarik balik saman terhadap Rotikaya

PENYANYI Wan daripada kumpulan Shades menarik balik saman fitnah terhadap pengendali laman blog Rotikaya.com kerana mendakwa menerbitkan artikel mengaitkannya dengan dakwaan rogol. - Foto Cerita Artis
PENYANYI Wan daripada kumpulan Shades menarik balik saman fitnah terhadap pengendali laman blog Rotikaya.com kerana mendakwa menerbitkan artikel mengaitkannya dengan dakwaan rogol. - Foto Cerita Artis

KUALA LUMPUR: Penyanyi Wan daripada kumpulan Shades menarik balik saman fitnah terhadap pengendali laman blog Rotikaya.com kerana mendakwa menerbitkan artikel mengaitkannya dengan dakwaan rogol.

Peguam Mohamad Lokman Hakim Abd Rahman yang mewakili pengendali laman blog Rotikaya.com, Nor Hamzie Md Hambali, 32, selaku defendan berkata, Wan atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Mohd Ali, 44, menarik balik saman itu dengan alasan ia membabitkan isu undang-undang.

Mohamad Lokman bagaimanapun tidak mendedahkan lanjut berhubung perkara berkenaan. Beliau berkata, plaintif menarik balik saman terbabit dengan kebebasan untuk memfailkan semula.

Katanya, peguam plaintif Nik Farhan Nik Mohamed Tahir memaklumkan mengenai permohonan penarikan balik tuntutan saman ketika pengurusan kes di kamar Hakim Datuk Yeoh Wee Siam.

Wee Siam membenarkan permohonan itu.

Sementara itu, Nik Farhan mengesahkan perkara itu dan berkata pihaknya akan memfailkan semula saman berkenaan secepat mungkin.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 31 Mac tahun lalu, Wan mendakwa, defendan pada 20 Februari 2012 menerbitkan artikel memfitnahnya dan disiarkan di laman web milik defendan.

Berikutan penerbitan artikel itu, Wan selaku plaintif berkata, reputasinya terjejas teruk dan mengalami kerugian dari segi kewangan dan kerjaya.

Sehubungan itu, Wan menuntut ganti rugi am berjumlah RM1 juta, ganti rugi teruk, teladan, faedah dan kos daripada defendan.

Berita Harian X