Ahad, 26 Februari 2017 | 7:49pm

Wanita diikat pada pokok suspek kes pukau

SEORANG wanita diikat pada sebatang pokok oleh orang awam di pasar pagi Jalan Wawasan 2, Pusat Bandar Puchong, Serdang, kerana dipercayai menipu seorang suri rumah RM10,000 pada tahun lalu. - Foto media sosial
SEORANG wanita diikat pada sebatang pokok oleh orang awam di pasar pagi Jalan Wawasan 2, Pusat Bandar Puchong, Serdang, kerana dipercayai menipu seorang suri rumah RM10,000 pada tahun lalu. - Foto media sosial

SERDANG: Seorang wanita diikat pada sebatang pokok oleh orang awam di  pasar pagi Jalan Wawasan 2, Pusat Bandar Puchong, kerana dipercayai menipu seorang suri rumah RM10,000 pada tahun lalu.

Wanita berusia berusia 56 tahun itu ditangkap pada jam 10 pagi hari ini, sebelum dilepaskan ikatan itu oleh anggota polis untuk dibawa ke balai.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner, Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 10.30 pagi dan polis peronda MPV dihantar ke lokasi kejadian.

"Apabila pihak polis tiba di lokasi, ada seorang wanita yang diikat di sebatang pokok, " katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pada kejadian Ogos lalu mangsa didatangi dua orang wanita meminta pertolongan membawa anak mereka yang sakit untuk berjumpa dengan sahabat mereka di kawasan berhampiran.

"Setibanya mangsa di lokasi, ada seorang wanita sedang menunggu mereka. Suspek dan sahabat wanita kemudian bertanya kepada mangsa sama ada di rumahnya ada orang atau tiada.

"Suspek kemudian meminta mangsa membuka rantai emas berserta loket kristal, gelang tangan emas dan kristal kepada mereka. Mangsa tanpa sedar mengikut arahan suspek dan selepas sedar, barangan kemasnya hilang selain suspek menghilangkan diri, " katanya.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, mangsa rugi RM10,000 dan hasil siasatan awal suspek tiada rekod jenayah.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 1 Mac ini.

Berita Harian X