Sabtu, 25 Februari 2017 | 9:20pm

Polis tahan lelaki ancam bom palsu

BOTA: Seorang lelaki berusia 30-an ditahan selepas dipercayai membuat ancaman bom palsu dalam sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang ditinggalkan di tengah jalan persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh - Lumut di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata lelaki berkenaan ditahan selepas tampil menyerah diri kira-kira satu jam selepas dia memberhentikan kenderaan itu di jalan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah membabitkan kes curi kenderaan dan dadah.

"Polis masih menjalankan soal siasat terhadap suspek dan akan mengemukakan permohonan reman terhadapnya esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Unit Pemusnah Bom (UPP) Bukit Aman yang selesai menjalankan siasatan dalam kenderaan terbabit tidak menemui sebarang bom atau bahan letupan.

"Tiada sebarang bom atau bahan kimia ditemui sebaliknya polis hanya menemui sebilah parang dalam kenderaan itu.

"Selesai pemeriksaan oleh UPP, kereta terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bagi siasatan lanjut berikutan nombor pendaftaran di bahagian hadapan dan belakang kereta itu sudah ditanggalkan," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Kejadian itu turut mengakibatkan kesesakan teruk apabila laluan utama Ipoh - Lumut itu ditutup lebih dua jam bermula jam 4.30 petang sebelum dibuka semula jam 7.15 malam.

ROBOT Unit Pemusnah Bom digunakan untuk memeriksa beg dalam sebuah kereta yang dikhuatiri mempunyai ancaman bom di Simpang Empat Bota Kiri. - Foto L Manimaran

SEORANG lelaki dipercayai individu yang menjerit mengenai ancaman bom terbabit dibawa ke lokasi kejadian oleh pasukan polis di Jalan Ipoh-Lumut. - Foto L Manimaran
SEORANG lelaki dipercayai individu yang menjerit mengenai ancaman bom terbabit dibawa ke lokasi kejadian oleh pasukan polis di Jalan Ipoh-Lumut. - Foto L Manimaran
Berita Harian X