Khamis, 16 Februari 2017 | 12:05pm

6 anggota Geng Anggerik ditahan

ALOR SETAR: Polis menahan enam anggota Geng Anggerik yang disyaki aktif mendalangi jenayah pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah ini sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata semua suspek berusia antara 23 hingga 39 tahun itu ditahan di lokasi berbeza antara 5 hingga 8 Februari lalu selepas majoritinya dikesan menjadikan hotel sebagai tempat tinggal mereka.

KETUA Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin. - Foto Amran Hamid
KETUA Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin. - Foto Amran Hamid

Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 24 tahun di sebuah hotel di Jalan Anggerik, di sini, sebelum siasatan lanjut membawa kepada penahanan lima lagi suspek di hotel berbeza serta rumah milik seorang anggota geng itu.

"Geng ini agak licik dengan melakukan pecah rumah serta premis secara terancang....mereka akan buat intipan terlebih dahulu untuk memastikan penghuni tiada di rumah dan bertindak selepas memastikan keadaan selamat.

"Berdasarkan kegiatan, mereka akan memecah masuk dan mencuri kunci untuk melarikan kenderaan milik mangsa, selain menggunakan kunci khas untuk mencuri motosikal," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, hari ini.

Mohd Rozi berkata, dengan tangkapan itu, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes pecah rumah termasuk menemui semula sebuah kereta Toyota Harrier, Toyota Vios dan beberapa motosikal serta rangka kenderaan itu yang dianggarkan kira-kira RM200,000.

Katanya, hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamin dan sebahagian mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk pecah rumah dan pengedaran dadah.

"Polis kini masih memburu dua lagi lelaki yang dikenali sebagai Emy dan Ah Chee yang berusia lingkungan 30-an dipercayai saki baki geng Anggerik yang bertindak sebagai penjual barangan yang dicuri.

"Kita sudah mengesan alamat kedua-dua suspek terbabit dan meminta mereka menyerah diri untuk membantu siasatan," katanya.

Semua suspek kini ditahan reman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan mencuri, selain Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Berita Harian X