Jumaat, 10 Februari 2017 | 10:52pm

Anggota pengawal RAMD cedera ditikam

LOKASI kejadian tikam di Seberang Takir, Kuala Nerus, petang tadi. - Foto Rozainah Zakaria
LOKASI kejadian tikam di Seberang Takir, Kuala Nerus, petang tadi. - Foto Rozainah Zakaria

KUALA NERUS: Seorang anggota pengawal Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seberang Takir di sini, cedera akibat ditikam di belakang leher oleh seorang lelaki yang juga bekas tentera, petang tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, suspek berusia 41 tahun yang menaiki sebuah motosikal berhenti di hadapan pintu utama kem itu, sebelum mendekati anggota berkenaan yang sedang bertugas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah, berkata suspek yang memakai topi keledar dan kain penutup muka dikatakan memaklumkan kepada mangsa mahu berjumpa dengan penolong pegawai memerintah di situ.

ANGGOTA pengawal Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seberang Takir yang cedera akibat ditikam di belakang leher oleh seorang lelaki yang juga bekas tentera, petang tadi.
 - Foto ihsan pembaca
ANGGOTA pengawal Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seberang Takir yang cedera akibat ditikam di belakang leher oleh seorang lelaki yang juga bekas tentera, petang tadi.
 - Foto ihsan pembaca


Beliau berkata, suspek kemudian tiba-tiba bertindak menerkam mangsa dan bertindak agresif mengacu pisau ke leher anggota berkenaan menyebabkan berlaku pergelutan sehingga mangsa cedera di belakang leher terkena tikaman senjata berkenaan.


Katanya, suspek turut cuba menarik senjata anggota pengawal berkenaan, namun seorang anggota lain yang menyedari kejadian kemudian bertindak meleraikan pergelutan dan mendapatkan bantuan.


"Suspek yang berasal dari Kampung Pak Kancil, Permaisuri, Setiu, kemudian ditahan oleh anggota berkenaan yang juga rakan setugas mangsa.


"Siasatan awal mendapati suspek adalah bekas tentera dan dikenakan tindakan buang kerja pada 2007 kerana masalah mental.


"Mangsa berusia 29 tahun dan berasal dari Kuala Kangsar, Perak, kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, untuk menerima rawatan," katanya.


Wan Abdul Aziz berkata, pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.


Berita Harian X