Jumaat, 10 Februari 2017 | 11:20am

3 cedera kereta rempuh kren

SERDANG: Dua lelaki dan seorang wanita cedera selepas kereta Proton Iswara dinaiki mereka merempuh sebuah kren di persimpangan lampu isyarat Jalan Putra Permai berhampiran sebuah pasar raya di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata kejadian kira-kira jam 1 pagi itu berlaku apabila kereta dinaiki tiga individu itu melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kren dari arah bertentangan.

"Dua lelaki, masing-masing berusia 23 tahun cedera di kepala, tangan dan badan manakala penumpang wanita berusia 27 tahun cedera pada telinga kiri dan patah satu jari kaki kirinya.

"Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X