KANGAR: Kru feri yang dilapor hilang selepas terjatuh di perairan Kuala Perlis malam tadi, ditemui lemas tengah hari tadi.
Mayat Firdaus Mohamad Zulkifli, 20, ditemui terapung berdekatan Jeti Kuala Perlis di sini, kira-kira jam 12 tengah hari tadi, sekali gus menamatkan pencarian selepas hampir 15 jam mangsa dilapor hilang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Zaini Talib, berkata mayat mangsa ditemui penumpang feri yang baru bergerak meninggalkan jeti Kuala Perlis menuju Langkawi.
"Kumpulan penumpang itu menjerit sebelum bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyiasat dan membawa mayat berkenaan ke darat," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, suasana sedih menyelubungi kawasan jeti Kuala Perlis apabila ahli keluarga mangsa yang menunggu sejak malam tadi dengan penemuan mayat berkenaan.
Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk dibedah siasat sebelum dibawa pulang ke kampung Allahyarham di Kampung Bukit, dekat Kupang di Baling, Kedah.