X
Jumaat, 27 Januari 2017 | 8:31pm

Pegawai JPJ maut ditetak di rumah

PONTIAN: Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut ditetak di leher, bahu dan pergelangan tangan kiri dalam rompakan di Jalan Parit Pak Intan, Pontian dekat sini, tengah hari tadi. 

Mangsa, Jaiman Sapar, 53, bertugas di Bahagian Kejuruteraan Teknik JPJ Daerah Pontian, di sini meninggal dunia ketika tiba di Hospital Pontian dekat sini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, mangsa ditemui terbaring berlumuran darah di perkarangan rumah oleh adik perempuannya, Siti Pujinah, 51, sebelum membawa abangnya ke hospital menaiki kereta. 

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman, berkata siasatan awal polis mendapati mangsa diserang dengan senjata tajam dan tidak menolak kemungkinan berlaku pergelutan antara mangsa dan perompak. 

"Ketika kejadian, mangsa dikatakan baru pulang dari rumah adiknya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya di sini, sebelum sedar terdapat individu tidak dikenali dalam rumahnya. 

"Mangsa yang rebah selepas diserang suspek menggunakan senjata tajam dipercayai parang, sempat menghubungi adik perempuannya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini. 

Zakaria berkata, siasatan polis dalam rumah juga mendapati televisyen milik mangsa hilang, manakala sejumlah wang syiling juga bertaburan atas jalan. 

"Selain itu, terdapat kesan umpil di pintu belakang rumah dan kemungkinan suspek memasuki rumah dari bahagian belakang. Polis difahamkan mangsa yang juga duda menetap di rumah berkenaan seorang diri sejak tiga tahun lalu," katanya. 

Zakaria berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

ANGGOTA forensik menyiasat lokasi kejadian seorang pegawai JPJ maut ditetak di leher bahu dan pergelangan tangan kiri dalam rompakan di Jalan Parit Pak Intan, Pontian, tengah hari tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin
ANGGOTA forensik menyiasat lokasi kejadian seorang pegawai JPJ maut ditetak di leher bahu dan pergelangan tangan kiri dalam rompakan di Jalan Parit Pak Intan, Pontian, tengah hari tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X