Ahad, 22 Januari 2017 | 2:24pm

Mangsa rentung dalam kemalangan belum dikenal pasti

 BOMBA dan penyelamat berusaha memadamkan kebakaran sebuah treler yang terlibat dalam kemalangan selepas merempuh dua kenderaan di Kilometer 201.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol malam tadi. -Foto Ihsan Bomba
BOMBA dan penyelamat berusaha memadamkan kebakaran sebuah treler yang terlibat dalam kemalangan selepas merempuh dua kenderaan di Kilometer 201.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol malam tadi. -Foto Ihsan Bomba

BUKIT MERAH: Identiti seorang lelaki yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 201.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, di sini, malam tadi, masih belum dikenal pasti.

Mangsa adalah pemandu kereta jenis PROTON Persona dan bukan Exora seperti dilaporkan sebelum ini, manakala seorang lagi mangsa yang turut maut dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Mok Wai Kit, 29, pemandu PERODUA Myvi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata kemalangan kira-kira jam 8 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu Persona, Myvi dan treler membawa muatan simen.

Katanya, identiti pemandu Persona yang terbakar bersama treler selepas kemalangan itu masih belum dapat dikenal pasti kerana dokumen pengenalan diri mangsa serta kenderaan dipandunya juga rentung.

"Difahamkan, sejurus selepas kemalangan itu berlaku, mangsa (pemandu Persona) masih bernyawa dan cuba dibantu orang awam, namun gagal apabila kenderaan itu terbakar dan kemudian meletup.

"Berdasarkan maklumat saksi awam, mangsa dipercayai berbangsa Melayu berusia lingkungan 30-an," katanya ketika dihubungi hari ini.

Omar Bakhtiar berkata,  pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau mangsa, tampil membantu siasatan.

Gambar Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Berita Harian X