Selasa, 17 Januari 2017 | 10:41pm

CCTV bongkar kegiatan pencuri di hospital

RAKAMAN CCTV menunjukkan dua daripada tiga suspek mencuri beg milik seorang lelaki di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di Likas. - Foto ihsan IPD Kota Kinabalu
RAKAMAN CCTV menunjukkan dua daripada tiga suspek mencuri beg milik seorang lelaki di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di Likas. - Foto ihsan IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membongkar kegiatan tiga lelaki yang menjadikan hospital sebagai lokasi untuk mencuri barangan milik pesakit apabila seorang daripada mereka ditahan, petang tadi.

Kejadian di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di Likas kira-kira jam 3.15 petang semalam, membabitkan seorang mangsa lelaki berusia 55 tahun.

Ketika kejadian, mangsa menunggu ubat sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang mengalihkan perhatian dengan menegur anak mangsa.

Seorang lagi suspek kemudian mengambil beg mangsa dari arah belakang yang diletakkan di sebelah kerusinya.

Antara barangan dalam beg terbabit termasuk telefon bimbit Samsung Note 5, pasport antarabangsa, buku akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB), beg tangan jenama Barry Smith dan wang tunai RM30.

Menyedari kehilangan begnya, mangsa meminta bantuan pihak hospital untuk melihat rakaman CCTV sekali gus membongkar kegiatan suspek yang kemudian melarikan diri menggunakan Proton Iriz berwarna hijau.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada jam 4.32 petang tadi.

"Hasil siasatan lanjut, seorang suspek berusia 32 tahun ditahan di Sulaman Sentral jam 4.35 petang tadi.

"Polis juga masih giat mengesan dua lagi suspek dan siasatan juga mendapati kenderaan dinaiki mereka adalah kereta sewa," katanya.

Kes itu disasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Berita Harian X