Rabu, 11 Januari 2017 | 10:57am

Kedi golf dituduh bunuh rakan wanita

gn4id:18321845

KOTA TINGGI: Seorang kedi golf dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga rakannya di Kampung Lukut di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Hayattulnurul Mohd Ghazali Ejau, 27, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Kota Tinggi, Khairul Azhar Mohamad.

Bagaimanapun, pada prosiding mahkamah hari ini, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Rovina Md Shariff, 37, di hadapan pondok sebuah ladang getah di Jalan Haji Salleh, Kampung Lukut di sini, bulan lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 9.15 malam, 10 Disember 2016 hingga jam 11 pagi, 12 Disember 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi'uddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditetapkan pada 13 Februari ini untuk sebutan semula, sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

Berita Harian X