SERDANG: Polis menahan dua lelaki selepas terbabit dalam pergaduhan yang turut menyebabkan seorang cedera ditikam di sebuah restoran di Bukit Serdang, Seri Kembangan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, mangsa bersama rakannya minum di restoran berkenaan didatangi dua lelaki sebelum seorang daripada suspek memberi amaran supaya mangsa tidak menghubungi kakaknya.
Bagaimanapun, suspek naik berang apabila mangsa mempersoalkan tindakannya lalu memukul mereka/
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata suspek kemudian mengeluarkan sebilah parang lalu menikam rakan mangsa di dada.
"Suspek turut merosakkan kereta mangsa dengan topi keledar.
"Mangsa dan rakannya yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Susulan kejadian, polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Serdang Jaya, pada jam 12.50 tengah hari tadi manakala suspek kedua ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Seri Kembangan, jam 1.45 tengah hari.
"Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an ditahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata," katanya.