Jumaat, 30 Disember 2016 | 8:44pm

Tiga lelaki tak mengaku pecah rumah

KETUA Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SUBANG JAYA: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di Jalan SS 18/4F, di sini, semalam.

Tangkapan dibuat sepasukan anggota ketika menjalankan Ops Pecah Rumah sekitar kawasan itu, yang menemui sebuah kereta jenis Toyota Camry berada dalam keadaan mencurigakan di simpang jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata polis yang menghampiri kenderaan itu mendapati seorang lelaki berada di tempat duduk belakang dan pemeriksaan ke atas lelaki tidak menemui barang salah.

"Lelaki itu memberitahu anggota dia menunggu dua rakannya. Lima minit kemudian, dua lelaki datang ke kenderaan itu dan seorang daripadanya mengaku pemilik kenderaan terbabit.

"Anggota kemudian memeriksa kedua-dua lelaki itu dan merampas pemutar skru kepala rata daripada seorang lelaki berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, polis turut menjumpai pelbagai peralatan disyaki digunakan dalam kes pecah rumah di tempat duduk belakang kereta.

"Antara peralatan yang dirampas adalah pemecah ais, spanar, penebuk tayar, pisau boleh laras, playar serta enam telefon bimbit pelbagai jenama," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketiga-ketiga lelaki itu tidak mengaku terbabit dengan kes pecah rumah.

Mohammad Azlin berkata, semakan ke atas semua suspek mendapati suspek pertama dan ketiga masing-masing mempunyai 16 rekod lampau, sementara suspek kedua 10 rekod lampau.

"Semua suspek berusia antara 32 tahun dan 33 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya.

Berita Harian X