Jumaat, 30 Disember 2016 | 4:24pm

Anggota bomba berkonvoi motosikal maut kemalangan

CHE Zaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Changloon - Kuala Perlis dekat Titi Serong, di Kangar, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
CHE Zaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Changloon - Kuala Perlis dekat Titi Serong, di Kangar, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

KANGAR: Seorang anggota bomba maut pada hari kelahirannya selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Changloon - Kuala Perlis dekat Titi Serong, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mangsa, Che Zaki Che Azih, 30, yang bertugas di Balai Bomba Pandan Indah, Selangor menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ, maut selepas terbabas pada jam 11.50 pagi.

"Siasatan awal mendapati keadaan jalan kering dan cuaca baik. Mangsa dipercayai terbabas ketika menunggang dari arah Changloon ke Kuala Perlis.

"Motosikal mangsa merempuh pokok di bahu jalan dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Hospital Tengku Fauziah, pada jam 12.15 tengah hari akibat kecederaan pada bahagian kepala," katanya ketika dihubungi BH.

Wari berkata, mangsa dipercayai berkonvoi motosikal dari Pantai Timur bersama rakannya menuju ke Pulau Langkawi.

"Saya tidak pasti sejak bila mereka berkonvoi dari Terengganu ke sini, namun difahamkan mereka bertolak dari Alor Setar menuju ke Kuala Perlis, pagi tadi.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Difahamkan, mangsa bersama puluhan lagi rakannya bertolak dari Pantai Timur menuju ke Perlis, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Berita Harian X