Khamis, 29 Disember 2016 | 1:38pm

Lelaki maut, motosikal terbabas langgar tembok konkrit

SERDANG: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangi terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar tembok konkrit di Kilometer 21.5 Lebuh raya Damansara Puchong (LDP) menghala Putrajaya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, T Logindran, 43, dari Desa Petaling, Kuala Lumpur, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohammad Aminuddin Megat Alias, berkata kemalangan dipercayai berpunca ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 sendirian dari arah Sunway dikatakan hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

"Perlanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar tembok konkrit di bahu jalan.

"Tiada saksi di tempat kejadian ketika kemalangan itu berlaku, tetapi hasil semakan mendapati, terdapat elemen kecuaian kerana penunggang dipercayai tidak memakai topi keledar," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Berita Harian X