Rabu, 21 Disember 2016 | 1:54pm

Armada Timur beroperasi April 2017 - PTL

AHMAD Kamarulzaman (dua dari kiri) ketika hadir di Majlis Pelucutan Tauliah KTD KEPAH di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah
AHMAD Kamarulzaman (dua dari kiri) ketika hadir di Majlis Pelucutan Tauliah KTD KEPAH di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Pangkalan Wilayah Laut 2 di Sepanggar bakal dijadikan Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun hadapan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata armada itu yang dijangka beroperasi pada April tahun hadapan, adalah antara langkah untuk mengukuhkan keselamatan maritim di Sabah.

Katanya, penstrukturan semula Armada TLDM itu bagi memastikan negara memiliki dua armada iaitu Armada Timur dan Armada Barat.

"Armada Barat berpangkalan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, manakala Armada Timur yang dijangka beroperasi April depan adalah di Pangkalan Wilayah Laut 2 di Sepanggar.

"Penstrukturan semula ini membolehkan kita meletakkan lebih banyak kapal termasuk kapal canggih bagi menjaga keamanan perairan Sabah," katanya pada sidang media selepas majlis Pelucutan Tauliah Kapal Tunda Diraja (KTD) KEPAH, di Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Ahmad Kamarulzaman, berkata TLDM juga bakal mewujudkan Pangkalan Wilayah Laut 4 di Bintulu, Sarawak pada tahun hadapan. 

Beliau percaya melalui Pangkalan TLDM di Bintulu mampu memberi impak besar kepada Sarawak dari aspek keselamatan di perairan Laut China Selatan.

Berita Harian X