Selasa, 20 Disember 2016 | 3:36pm

Warga Bangladesh naik basikal maut dirempuh

ANGGOTA bomba mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit dalam kemalangan di Parit Buntar, awal pagi tadi. -Foto ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit dalam kemalangan di Parit Buntar, awal pagi tadi. -Foto ihsan bomba

PARIT BUNTAR: Seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh yang belum dikenal pasti identitinya maut apabila basikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Simpang Lima, Jalan Kampung Kedah di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 1.15 pagi itu, pemandu wanita berusia lingkungan 20-an itu turut parah apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya terhumban ke dalam parit selepas merempuh mangsa.

Pemandu kereta yang lengkap berpakaian seragam sebuah restoran makanan segera itu difahamkan dalam perjalanan pulang dari Simpang Ampat, Pulau Pinang menghala ke Parit Buntar.

Mangsa yang tersepit dalam keretanya diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut, manakala mangsa yang maut turut dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

Ketua Operasi BBP Parit Buntar, Razak Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.18 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit.

Katanya, pihaknya mengambil masa 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang parah menggunakan kit keselamatan khas sebelum menyerahkannya kepada pihak paramedik bertugas.

Berita Harian X