Isnin, 12 Disember 2016 | 3:57pm

4 ditahan seludup pistol, peluru

Anggota polis melakukan pemeriksaan ke atas salah sebuah dari dua kenderaan yang ditahan dan hasil pemeriksaan menemui sepucuk pistol dan 30 butir peluru di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Changlun. - Foto Amran Hamid
Anggota polis melakukan pemeriksaan ke atas salah sebuah dari dua kenderaan yang ditahan dan hasil pemeriksaan menemui sepucuk pistol dan 30 butir peluru di Kilometer 9.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Changlun. - Foto Amran Hamid

CHANGLUN: Empat orang termasuk dua wanita ditahan di Kilometer 9.7 arah Selatan Lebuhraya Utara-Selatan PLUS, pekan Changlun di sini malam tadi, selepas didapati cuba menyeludup sepucuk pistol bersama 30 butir peluru hidup.

Sumber berkata, dua lelaki dan dua wanita berusia antara 26 hingga 41 tahun menaiki Perodua Myvi dan sebuah kereta BMW itu, ditahan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah, jam 10.40 malam.

Katanya, pemeriksaan menemui sebuah beg silang milik suspek berusia 31 tahun berisi sepucuk pistol dan satu kelopak peluru serta 30 butir peluru hidup berbalut surat khabar negara jiran dalam kereta Perodua Myvi.

"Anggota yang menggeledah turut menemui beg galas berisi pakaian seragam polis milik isteri suspek berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Kuala Lumpur.

"Siasatan mendapati suspek lelaki itu membeli pistol di Thailand pada harga RM3,000 ketika pulang ke kampungnya di Taiping, Perak, sebelum mengajak isteri dan sepupunya bersama kenalan wanita ke Bukit Kayu Hitam," katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati isteri suspek bersama dua yang lain mendakwa tidak mengetahui tindakan suspek membeli pistol itu.

"Suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala sepupunya memiliki disabitkan dengan lima rekod jenayah lampau berkaitan samun, ugutan, curi serta dua kes orang dikehendaki berkaitan kes mendatangkan kecederaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun Twitter rasminya mengucapkan syabas kepada polis Kedah kerana menahan empat orang di Changlun dan merampas sepucuk pistol yang diseludup.

Berita Harian X