Ahad, 11 Disember 2016 | 12:47pm

Gesa polis siasat dalang surat layang

KUALA LUMPUR: Kelab Sahabat N87 Kuala Lumpur meminta polis segera menyiasat dalang surat layang yang mendakwa kononnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meminta Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Ketua Penerangannya, Shahbudin Embon, berkata penyebaran surat layang itu jelas berniat jahat dalam usaha melaga-lagakan Najib dan Ahmad Zahid serta melemahkan UMNO.

Ketua Penerangan Kelab Sahabat N87 Kuala Lumpur, Shahbudin Embon, (tengah) menunjukkan laporan polis berhubung surat layang palsu cuba melaga-lagakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang viral di media sosial di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. - Foto NSTP/Azhar Ramli

"Kandungan surat itu menunjukkan seolah-olah Timbalan Perdana Menteri ingin membuat 'coup-de-tat' atau rampasan kuasa dengan menulis surat yang juga seperti ditandatangani beliau sedangkan ia adalah palsu.

"Penyebaran surat layang itu amat berbahaya kepada keselamatan negara, selain bertujuan merosakkan kestabilan, nama baik dan solidariti dalam UMNO serta Barisan Nasional (BN)," ' katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mewakili Kelab Sahabat N87 yang menyokong Najib, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam, bagi mendesak polis menjalankan siasatan dan mencari dalang utama penyebaran surat layang berkenaan.

Berita Harian X