Sabtu, 3 Disember 2016 | 4:47pm
PANGLIMA TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PANGLIMA TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

TLDM, SPRM jalin kerjasama perangi rasuah

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 13 Disember ini bagi membantu memerangi kegiatan rasuah dalam pasukan itu.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata MoU menunjukkan komitmen pasukan itu memastikan gejala rasuah tidak berlaku atau menjadi amalan dalam pasukan.

"Kami menghargai idea dan khidmat nasihat SPRM yang secara tidak langsung dapat meningkatkan penjimatan dan percaya kolaborasi ini mampu memberikan pulangan berimpak tinggi," katanya pada sesi Town Hall di Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

Pada sesi berkenaan, seramai 780 wakil syarikat pembekal menyertai sesi soal jawab bersama Ahmad Kamarulzaman yang juga inisiatif pengurusan tertinggi TLDM dalam memberikan pencerahan kepada mereka mengenai manfaat diperoleh daripada program transformasi dilaksanakan pasukan berkenaan.

Ahmad Kamarulzaman berkata, sesi dialog itu membolehkan pihaknya dan industri berkongsi idea selain melihat perubahan pihak pembekal selaras transformasi TLDM.

Katanya, penerangan jelas diberikan agar pelan transformasi TLDM difahami dengan mudah pihak industri dan melihatnya sebagai tindakan drastik pasukan itu bagi menangani cabaran akan datang.

Beliau berkata, pelan transformasi itu juga bertujuan meningkatkan daya saing dan daya tahan TLDM dalam usaha menangani cabaran semasa ekonomi yang tidak menentu khususnya cabaran mengoptimumkan sumber terhad dengan lebih berkesan.

Berita Harian X