Rabu, 30 November 2016 | 2:20pm

Dua beradik antara 3 ditahan miliki dadah

TAMPIN: Dua beradik antara tiga ditahan kerana memiliki dadah dalam pemeriksaan di Jalan Besar di sini, awal pagi tadi.

Lelaki berumur 30 tahun dan adik perempuannya berusia 23 tahun, ditahan bersama seorang lagi lelaki berumur 40 tahun ketika menaiki PERODUA Bezza, kira-kira jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata hasil pemeriksaan dalam but kereta, anggota polis menemui satu tiub hablur kristal yang dipercayai syabu seberat 0.12 gram dalam sebuah beg galas hitam.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Tampin dan hasil pemeriksaan terhadap tubuh masing-masing, polis menemui satu kotak hitam dalam seluar wanita terbabit.

"Kotak itu mengandungi dua paket dadah jenis heroin seberat 2.92 gram dan satu paket syabu seberat 0.31 gram serta dua biji pil Eramin 5," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis candu dan methamphetamin.

Mereka akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X