Jumaat, 25 November 2016 | 6:13pm

Geng Muruku aktif samun tumpas

TIMBALAN Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Lee Swee Meng, (dua dari kanan) melihat barang rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini. - Foto Azhar Ramli
TIMBALAN Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Lee Swee Meng, (dua dari kanan) melihat barang rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini. - Foto Azhar Ramli

SUBANG JAYA: Pasangan suami isteri adalah antara sembilan ahli Geng Muruku yang diberkas polis berhubung 10 kes samun di sekitar Lembah Klang, sejak setahun lalu.

Semua suspek ditahan dalam serbuan di lima lokasi antara Selasa lalu hingga semalam, selepas menerima laporan daripada seorang peniaga yang menjadi mangsa terbaharu kumpulan terbabit pada 12 November lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang, mangsa berusia 39 tahun didatangi seorang wanita bersama kanak-kanak berusia enam tahun, kononnya mahu menyerahkan hamper sebelum tiba-tiba didatangi tiga lelaki berparang.

Mangsa dan dua anaknya berusia 10 dan 17 tahun kemudian diikat kaki dan tangan sebelum penjenayah terbabit melarikan pelbagai barangan dalam rumah termasuk barang kemas dan wang tunai yang semuanya dianggarkan bernilai RM35,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Lee Swee Meng, berkata hasil maklumat, polis menyerbu sebuah hotel di Puchong pada jam 2.45 pagi 22 November lalu dan menahan seorang remaja berusia 17 tahun yang disyaki anggota geng terbabit.

"Berpandukan maklumat daripada suspek, polis kemudian menyerbu satu bilik di hotel sama pada jam 3.30 pagi dan menahan seorang lagi suspek dan merampas lima telefon bimbit, dua utas jam tangan, tiga utas rantai kaki, tiga bentuk cincin, pelbagai mata wang asing serta kad ATM.

"Seorang lagi suspek ditahan pada jam 5.20 pagi hari sama di sebuah rumah di PJS 1/52 Rumah Panjang Petaling Utama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, hari ini.

Swee Meng berkata, berdasarkan maklumat polis kemudian menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Cuepacs, Cheras pada jam 10.30 malam dan menahan dua lelaki dan seorang wanita yang mana dua daripada mereka adalah pasangan suami isteri.

Turut dirampas daripada mereka adalah seutas gelang emas dan seutas jam tangan, tablet serta telefon bimbit.

Beliau berkata, operasi kemudian diteruskan dengan penahanan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah Hotel di Jalan Klang Lama, Rabu lalu.

Katanya, suspek terakhir ditahan semalam di sebuah rumah di Taman Puchong Indah dan hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod lampau yang kebanyakannya adalah berkaitan dadah.

"Dua kereta turut dirampas daripada seorang suspek. Hasil siasatan mendapati mereka menyewa kereta itu untuk menjalankan kegiatan jenayah.

"Modus operandi digunakan suspek sama bagi semua kes yang mana seorang wanita membawa seorang kanak-kanak menyamar kononnya mahu menghantar hamper ke rumah yang disasarkan.

"Tiga lelaki bersenjatakan parang kemudian akan datang dan melarikan barang milik mangsa," katanya.

Beliau berkata, semua suspek berusia antara 17 hingga 48 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

Berita Harian X