Selasa, 8 November 2016 | 3:28pm

Lelaki dipenjara 18 bulan ugut, pukul sepupu

AHMAD Anuar Mohd, 30 (tengah) dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku salah terhadap pertuduhan mengugut dan mencederakan sepupu perempuannya di Mahkamah Majistret. - Foto Syafiq Ridzuan Ambak
AHMAD Anuar Mohd, 30 (tengah) dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku salah terhadap pertuduhan mengugut dan mencederakan sepupu perempuannya di Mahkamah Majistret. - Foto Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Akibat mengugut dan mencederakan sepupu yang didakwa suka menjaga urusan orang lain, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim, menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Anuar Mohd, 30, dari Kampung Pandu, Batu Rakit, Kuala Nerus, yang mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 KK kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Anuar didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap sepupunya, Shakimah Muda, 35, dengan mengugut menggunakan sebilah pisau dengan niat menimbulkan rasa takut kepada mangsa pada jam 4.40 petang 4 November lalu di sebuah rumah di Kampung Wakaf Cagak, Batu Rakit.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Shakimah dengan memukulnya pada waktu dan alamat sama.

Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap tertuduh bagi pertuduhan pertama, manakala penjara 12 bulan bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X