Isnin, 31 Oktober 2016 | 5:13pm

Pasangan kekasih rompak 2 kedai ditahan

DUA suspek rompak dua kedai di Kuching berjaya ditahan pagi tadi.
DUA suspek rompak dua kedai di Kuching berjaya ditahan pagi tadi.

KUCHING: Tidak sampai 24 jam selepas merompak dua kedai berasingan, di sini, semalam, suspek yang juga sepasang kekasih berjaya ditahan polis, pagi tadi.

Lelaki berusia 21 tahun dan teman wanitanya, yang berusia 24 tahun, ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, diketuai Asisten Superintendan Taruna Marian, yang memintas kereta PERODUA Viva dinaiki pasangan itu di Matang Mall, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata kedua-dua suspek dikenal pasti melakukan rompakan di kedai 7-Eleven dan sebuah kedai gambar, semalam.

Beliau berkata, dalam rompakan pertama di kedai 7-Eleven di Jalan Song Thian Cheok, di sini, kira-kira jam 4.15 petang semalam, suspek lelaki yang bersenjatakan sabit mengugut akan mencederakan juruwang, manakala teman wanitanya mengambil wang tunai berjumlah RM1,284 daripada mesin tunai kedai berkenaan serta merampas dua telefon bimbit.

Kira-kira sejam kemudian iaitu pada jam 5.10 petang, mereka pergi ke sebuah kedai gambar di Bandar Baru Batu Kawa (MJC) dan suspek lelaki mencekik leher seorang pekerja wanita di kedai berkenaan, manakala teman wanitanya merampas beg tangan yang mengandungi wang tunai berjumlah RM1,000, dokumen peribadi serta kad bank.

Sebelum melarikan diri menaiki kereta PERODUA Viva berwarna jingga, mereka turut mengambil sebuah kamera serta empat telefon bimbit dari kedai berkenaan.

Dev berkata, ketika ditahan, kedua-dua suspek didapati berada di bawah pengaruh dadah dan mereka mengaku melakukan rompakan di dua kedai terbabit.

"Barangan yang dicuri dari dua kedai terbabit, termasuk wang tunai ditemui dalam kereta yang dinaiki dua suspek.

"Pemeriksaan kemudiannya mendapati nombor pendaftaran kereta itu adalah palsu," katanya.

Berita Harian X