Khamis, 20 Oktober 2016 | 1:55pm

Raga rotan berlilit kain kuning disangka bom

KANGAR: Penemuan objek mencurigakan di bawah sebuah lori di kawasan lot kedai di Persiaran Jubli Emas, di sini, pagi tadi mencetus situasi cemas apabila ia dicurigai mengandungi bahan letupan.

Situasi itu bagaimanapun reda apabila objek berkenaan hanyalah raga rotan yang diikat kain kuning dan disahkan kosong serta tidak mengandungi bom seperti didakwa.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, mengesahkan perkara itu selepas pemeriksaan dilakukan Unit Pemusnah Bom (UPB) yang dikerah ke lokasi untuk tindakan lanjut.

"Kami menerima laporan dari pemilik lori berkenaan sekitar jam 9 pagi yang mengatakan terdapat barangan mencurigakan di bawah lorinya.

"UPB kemudian dihantar untuk menjalankan pemeriksaan dan selepas sejam kami dapati ia hanyalah raga yang dibalut kain kuning," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, laluan sekitar bandar ini sesak hampir dua kilometer selepas orang ramai memberhentikan kenderaan masing-masing untuk meninjau keadaan selepas berita penemuan objek didakwa bom itu tersebar melalui media sosial.

Sementara itu, pemilik lori, Khoh Kim Long, 63, berkata dia menyedari kewujudan objek itu selepas dimaklumkan seorang rakan yang mengatakan terdapat barangan mencurigakan di bawah lorinya.

"Selepas mengambil gambar, saya terus ke balai polis untuk membuat laporan.

"Saya tidak fikirkan bom, tetapi khuatir jika ada haiwan berbisa di dalam raga berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

UNIT Pemusnah Bom (UPB) menggunakan robot untuk memeriksa raga rotan yang diikat kain kuning yang dicurigai mengandungi bahan letupan. - Foto Eizairi Shamsudin
UNIT Pemusnah Bom (UPB) menggunakan robot untuk memeriksa raga rotan yang diikat kain kuning yang dicurigai mengandungi bahan letupan. - Foto Eizairi Shamsudin

Berita Harian X