Isnin, 17 Oktober 2016 | 11:26am

Lelaki menyamar pegawai polis ditahan

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki berusia 27 tahun, yang menyamar sebagai pegawai kanan polis, ditahan di Balai Polis Nusa Bestari, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad, berkata lelaki terbabit ditahan pada jam 1.15 pagi selepas memperkenalkan diri sebagai polis berpangkat Deputi Superintendan berjawatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.

Katanya, anggota yang bertugas di pejabat pertanyaan didatangi suspek, yang mendakwa menunggu rakannya.

"Lelaki terbabit memperkenalkan diri sebagai pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan dari IPD Dang Wangi.

"Pihak polis yang curiga dengan keadaan itu meminta suspek menunjukkan kad kuasa polis tetapi dia cuba berdolak-dalik dengan memberi pelbagai alasan sebelum ke tandas," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Noor Hashim berkata, suspek ditahan ketika menuju ke kawasan parkir di depan balai.

Katanya, tindakan pantas anggota polis menahan suspek daripada melarikan diri.

"Pemeriksaan ke atas suspek dan kereta dinaikinya menemui pelbagai barangan, selain merampas sebuah kereta jenis PERODUA Alza.

"Turut dirampas, sarung gari berwarna hitam bersama gari, dua unit telefon bimbit, beg silang coklat dan sebatang cota besi boleh laras berwarna hitam emas bersama sarung hitam.

"Polis turut merampas pelekat tertera lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan serangkai kunci berserta alat kawalan jauh," katanya.

Katanya, suspek ditahan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Berita Harian X