Ahad, 16 Oktober 2016 | 3:04pm

KPDNKK rampas 61,747 keping VCD, DVD cetak rompak

PASUKAN Khas Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya merampas cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak dalam satu operasi khas cetak rompak disebuah pasaranya sekitar bandar ini. - Foto Ihsan KPDNKK
PASUKAN Khas Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya merampas cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak dalam satu operasi khas cetak rompak disebuah pasaranya sekitar bandar ini. - Foto Ihsan KPDNKK

KUANTAN: Sejumlah 61,747 keping cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) bernilai RM512,976 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam operasi khas di bandar ini, semalam.

Operasi kendalian Pasukan Khas, Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Putrajaya membabitkan 35 pegawai itu, turut menahan sembilan lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an untuk membantu siasatan.

Ketua Pengarah (Bahagian Penguat Kuasa) KPDNKK Putrajaya, Mohd Roslan Mahayudin, berkata serbuan dilakukan di dua banglo yang dijadikan stor dan sembilan premis di tiga pusat beli-belah di bandar ini.

Katanya, serbuan dilakukan hasil risikan selama tiga bulan oleh Pasukan Khas Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Putrajaya.

"Dalam serbuan pertama, kita ambil masa kira-kira 30 minit untuk memasuki premis yang dijadikan stor simpanan.

"Pemeriksaan membawa kepada penemuan 3,600 salinan VCD dan DVD. Susulan serbuan itu, kita memeriksa sebuah lagi rumah tidak berpenghuni dan menemui 31,000 salinan VCD dan DVD cetak rompak.

"Stor dan rumah itu mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Roslan berkata, KPDNKK turut menyerbu sembilan premis di sekitar bandar ini dan merampas kira-kira 27,000 keping VCD dan DVD cetak rompak selain menyita sebuah kereta, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM512,976.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (d) Akta Hak Cipta 1987 dan Peraturan 4(4)(a) Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010 serta Akta Perihal Dagangan 2011.

Berita Harian X