Jumaat, 14 Oktober 2016 | 3:27pm

Permohonan Anwar halang Akta MKN ditolak

 DATUK Sri Anwar Ibrahim . - Foto Mohd Yusni Ariffin
DATUK Sri Anwar Ibrahim . - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak saman pemula dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas mendapati ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman pemula yang difailkan Anwar pada 2 Ogos lalu.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh, ketika ditemui pemberita selepas prosiding di kamar hakim pagi tadi, berkata Hanipah memutuskan mahkamah tiada bidang kuasa mendengar isu membabitkan kompetensi legislatif dalam membuat undang-undang.

Dalam saman pemula itu, Anwar mendakwa Akta MKN 2016 adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana Fasal 66 Perlembagaan Persekutuan dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983 (A566); Akta Perlembagaan (pindaan) 1984 (A584) dan Akta Perlembagaan (pindaan) 1994 (A885).

Anwar mendakwa, melalui pindaan itu struktur asas Fasal 66 sudah diubah sedangkan Parlimen tidak berkuasa meminda Perlembagaan Persekutuan.

Berita Harian X