Isnin, 10 Oktober 2016 | 9:53pm

2 bersaudara maut, nahas 3 kenderaan

KEADAAN tiga buah kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dan meragut dua nyawa di Jalan Rim-Parit Keliling Jasin. - Foto Ihsan Pembaca
KEADAAN tiga buah kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dan meragut dua nyawa di Jalan Rim-Parit Keliling Jasin. - Foto Ihsan Pembaca

JASIN: Dua bersaudara maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Rim-Parit Keliling, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 petang itu, pemandu PROTON Saga, S Sridevi, 29, dan ibu saudaranya, D Avanesammal, 55, yang juga penumpang kenderaan, maut di tempat kejadian, manakala dua lagi penumpang cedera termasuk anak Sridevi berusia tiga tahun yang patah tangan kanan dan koyak di bahagian mulut.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa terbabas di laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 54 tahun, sebelum dilanggar sebuah lagi kereta Nissan Almera.

Kejadian itu turut mengakibatkan seorang penumpang Toyota Hilux patah pada bahagian bahu, manakala pemandu dan penumpang Nissan Almera tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Sampornak Ismail ketika dihubungi mengesahkan kemalangan meragut dua nyawa itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X