Sabtu, 8 Oktober 2016 | 9:41am

Lelaki hilang 3 hari ditemui mati dibunuh

MAYAT seorang lelaki hilang sejak tiga hari lalu, dipercayai dibunuh apabila ditemui dalam kebun sawit di Batu 3, Jalan Paloh-Yong Peng, dekat sini, tengah hari semalam.
MAYAT seorang lelaki hilang sejak tiga hari lalu, dipercayai dibunuh apabila ditemui dalam kebun sawit di Batu 3, Jalan Paloh-Yong Peng, dekat sini, tengah hari semalam.

BATU PAHAT: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak tiga hari lalu terjawab apabila mayatnya ditemui di sebuah kebun sawit di Batu 3, Jalan Paloh-Yong Peng, dekat sini, tengah hari semalam.

Mayat dikenali sebagai Anuar Abd Shokor, 50, ditemui terbaring oleh orang awam dengan beberapa kesan tetakan di kebun kelapa sawit itu, kira-kira 100 meter dari laluan utama Jalan Paloh-Yong Peng, dekat sini, pada jam 12.20 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata hasil pemeriksaan terhadap fizikal mangsa mendapati terdapat beberapa kesan tetakan di bahagian kepala dan di tangan, malah tiada sebarang pengenalan diri mahupun dompet dijumpai bersama si mati.

"Pemeriksaan lanjut pada mayat mangsa mendapati tiada kesan pergelutan atau senjata dijumpai di tempat kejadian, malah mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain dan dicampak di lokasi kejadian.

"Isteri mangsa membuat laporan polis Khamis lalu apabila suaminya tidak balik ke rumah selepas memaklumkan hendak pergi memancing di Tanjung Laboh, dekat sini.

"Maklumat awal keluarga mangsa menyatakan mangsa tidak bermusuh dengan sesiapa namun mangsa ada membuat pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM7,000, Selasa lalu," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Abdul Wahib berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Berita Harian X