Ahad, 25 September 2016 | 10:48pm

Jururawat mahu isi minyak tergamam kereta hilang

EMPAT pilihan warna RS150R.
EMPAT pilihan warna RS150R.

PERMAISURI: Seorang jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) terkejut apabila kereta Honda Civic miliknya dilarikan ketika dia mahu mengisi minyak pagi tadi.

   

Dalam kejadian itu kira-kira jam 6.45 pagi, mangsa Habsah Mohamad, 35, dari Putera Jaya di sini, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Terengganu, berhenti di sebuah stesen minyak di Chalok untuk mengisi minyak.

   

Katanya, sebaik mematikan enjin kereta dia menuju ke kaunter bayaran dan beratur menunggu giliran.

   

"Selepas selesai membuat pembayaran saya menuju ke pam minyak tempat kereta diletakkan dan terkejut apabila mendapati kereta sudah tiada," katanya yang baru membeli kereta itu awal tahun ini.

   

Habsah berkata, seorang saksi di tempat kejadian memaklumkan nampak keretanya dilarikan seorang lelaki menuju ke arah Kuala Terengganu.

   

"Saya memang mematikan enjin kenderaan, tetapi tertinggal kunci pada stereng kereta ketika ke kaunter bayaran. Saya tidak sangka dalam sekelip mata kereta saya boleh dilarikan pencuri.

   
"Kejadian ini menyebabkan saya turut kerugian kira-kira RM8,000 termasuk beg, wang tunai, barang kemas dan beberapa dokumen penting yang diletakkan di dalam kereta," katanya.

   

Beliau berkata, selepas berita mengenai keretanya dicuri disebarkan menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp, dia ada menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan keretanya itu kini didakwa berada di Kota Bharu, Kelantan.

   

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.  

   

"Hingga kini kita masih giat memburu suspek dan kereta yang hilang belum dijumpai. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kereta itu boleh menghubungi polis di talian 019-9444093 atau datang ke balai polis berhampiran.

Berita Harian X