Sabtu, 10 September 2016 | 3:06pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Kanak-kanak 10 tahun lemas mandi bersama rakan

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun lemas selepas mandi bersama beberapa rakannya di Sungai Batang, Batu 10, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, Amirul Asran, diselamatkan oleh orang awam dan diberi bantuan pernafasan oleh anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba tidak lama kemudian.

Difahamkan, mangsa mandi di sungai berkenaan bersama beberapa rakan sebelum dilihat terkapai-kapai lalu diselamatkan oleh orang awam.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 8.36 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi yang terletak 22 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

"Setibanya di lokasi, kanak-kanak lelaki terbabit sudah dibawa oleh orang awam ke tebing sungai.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang tiba bersama sebuah ambulans tidak lama kemudian," katanya di sini, hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent, di sini untuk tindakan selanjutnya.

Berita Harian X