Rabu, 7 September 2016 | 4:24pm

Wanita jual COA Microsoft palsu ditahan

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub(tengah) menunjukkan pelekat sijil ketulenan (COA) Microsoft Windows 7 dan Windows 10 yang palsu di Pejabat KPDNKK Shah Alam. - Foto NSTP/Siraj Mohd Zaini
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub(tengah) menunjukkan pelekat sijil ketulenan (COA) Microsoft Windows 7 dan Windows 10 yang palsu di Pejabat KPDNKK Shah Alam. - Foto NSTP/Siraj Mohd Zaini

SHAH ALAM: Seorang wanita ditahan kerana menjual pelekat sijil ketulenan (COA) Microsoft Windows 7 dan 10 palsu kepada peniaga komputer di sekitar Lembah Klang.

Kegiatan wanita berusia 33 tahun itu terbongkar hasil penyamaran anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebagai pembeli serta mengatur pertemuan di sebuah restoran di SS2, Petaling Jaya, pada jam 3 petang, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub, berkata setiap COA Microsoft palsu itu dijual pada harga RM80, berbanding RM800 untuk setiap pelekat tulen.

"Hasil tangkapan suspek, kami turut merampas 108 COA Microsoft palsu dianggarkan bernilai RM9,300. Jadi, dengan adanya pelekat yang mirip kepada pelekat tulen, peniaga komputer dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

"Malah, peniaga akan menjual perisian Microsoft palsu atau cetak rompak, tetapi perisian ini ditampal COA yang kononnya tulen bagi mengaburi mata pembeli," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Rosik berkata, wanita berkenaan mengaku menempah COA Microsoft palsu itu dari China dengan harga RM30 setiap satu.

"Iklan penjualan pelekat ini berleluasa di laman sosial dan proses pembelian pelekat dilakukan di tempat tertentu bagi mengelak dihidu pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi setiap sijil.

Berita Harian X