Rabu, 7 September 2016 | 10:22am

Warga tua rentung dalam kebakaran rumah

ENDAU: Seorang warga tua ditemui rentung dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Teriang Tengah, dekat sini, dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Amin Awang, 88, yang juga bekas bilal Masjid Jamek Teriang, dekat sini, yang tinggal bersendirian ketika kejadian gagal menyelamatkan diri.

Jiran mangsa yang menyedari kejadian itu juga gagal membantu kerana api marak dengan cepat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Alias Husin, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran pada jam 3.09 pagi.

Katanya, sebuah jentera bersama sembilan anggota diketuai beliau sendiri bergegas ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

"Sebaik tiba, sebahagian besar rumah sudah musnah terbakar. Mayat mangsa ditemui di ruang tamu dipercayai cuba menyelamatkan diri dan operasi ditamatkan pada jam 6.06 pagi tadi," katanya.

Berita Harian X