Isnin, 5 September 2016 | 4:26pm

Bekas banduan wanita terlepas tali gantung, keluar penjara

Shanti, 64, (kanan) memeluk anaknya, Devi, 35, sejurus dibebaskan dari penjara setelah dipenjara selama 31 tahun di Penjara Sungai Udang. - Muhammad Zuhairi Zuber
Shanti, 64, (kanan) memeluk anaknya, Devi, 35, sejurus dibebaskan dari penjara setelah dipenjara selama 31 tahun di Penjara Sungai Udang. - Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Tiada kata mampu diluahkan selain mengucap rasa syukur kepada tuhan bagi seorang bekas banduan wanita warga emas sejurus melangkah keluar dari pintu tirai besi Kompleks Penjara Sungai Udang, di sini, hari ini.

Tempoh 31 tahun meringkuk dalam penjara dilalui dengan penuh air mata dan kesabaran wanita dikenali sebagai Shanti, 64, apabila dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, pada 1990 atas kesalahan mengedar dadah.

Dia ditahan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS), yang ketika itu dikenali Lapangan Terbang Antarabangsa Subang bersama dua lelaki ketika mahu berlepas ke Australia pada 1985.

Pemeriksaan polis menjumpai dua bungkusan plastik dipercayai dadah pada kocek pakaian dan dua bungkusan lagi di kedua-dua betis wanita berusia 33 tahun yang dijadikan keldai dadah pada ketika itu.

Rayuannya di Mahkamah Persekutuan empat tahun kemudian juga ditolak dan dikekalkan sebagai banduan akhir.

Hikmah tuhan mengatasi segala-galanya apabila hukuman Shanti diringankan kepada penjara seumur hidup dan menerima pengampunan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2003.

"Saya terlalu gembira apabila dapat keluar dari sini (penjara) dan dibebaskan awal. Tuhan ampunkan saya selama ini dan bersyukur kerana terlepas tali gantung. Saya mahu bina hidup baharu semula bersama keluarga dengan lebih baik," katanya ketika ditemui di pekarangan kompleks penjara itu.

Turut hadir menyambut Shanti, sebelum dibawa pulang ialah suaminya berusia 69 tahun dan anak perempuan bongsu dikenali sebagai Devi, 35.

Berita Harian X