Ahad, 4 September 2016 | 1:27pm

Suspek samun kedai emas di Putrajaya ditahan

 KETUA Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan menunjukkan poster suspek yang dicari kerana terlibat dalam kes samun kedai emas di Presint 15, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
KETUA Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan menunjukkan poster suspek yang dicari kerana terlibat dalam kes samun kedai emas di Presint 15, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Polis berjaya menahan sembilan suspek kes samun sebuah kedai emas di Presint Diplomatik di sini, dalam dua operasi berbeza sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata operasi yang dijalankan selama dua minggu sehingga semalam itu berjaya menahan suspek berusia antara 20 dan 30-an.

Katanya, tiga daripada suspek itu dipercayai terbabit secara langsung dengan kes samun kedai emas berkenaan.

"Suspek lain pula dipercayai pembeli yang melebur emas serta pemilik motosikal yang digunakan semasa kes samun itu.

"Seorang daripada suspek berusia lingkungan 30-an mempunyai rekod jenayah lampau.

Selain itu, mereka ini dipercayai aktif dalam jual beli barang kemas berdasarkan rampasan alatan dipercayai untuk melebur emas," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Pertengahan bulan lalu, pemilik kedai emas di Presint Diplomatik kerugian hampir RM30,000 selepas disamun tiga lelaki yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) pada jam 2.05 petang.

Suspek dipercayai menggunakan tukul besi untuk memecahkan cermin pameran barang kemas dan penyembur lada bagi menakutkan pekerja premis berkenaan.

Rosly berkata, hasil daripada operasi berkenaan, pihaknya turut merampas pelbagai barangan termasuk perkakas yang digunakan untuk melebur emas, jam tangan, wang, barang kemas serta pakaian yang digunakan semasa samun.

"Selain itu, polis turut merampas beberapa dokumen lain seperti resit pembayaran perubatan anak suspek di hospital, resit pembayaran hutang along serta kenderaan Toyota Alphard dan motosikal jenis Yamaha," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X