Jumaat, 2 September 2016 | 5:04pm

Guru wanita cedera ditikam

SANDAKAN: Seorang guru wanita cedera di leher selepas ditikam seorang lelaki dalam kejadian di Batu 4, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, wanita berusia 27 tahun terbabit dikatakan ingin membeli makanan di sebuah restoran apabila didatangi seorang lelaki ketika mangsa meletakkan kereta berhampiran premis.

Suspek yang datang dari arah belakang dikatakan mengarahkan mangsa duduk di kerusi penumpang hadapan tetapi wanita terbabit menjerit meminta tolong.

Tindakan itu menyebabkan mangsa ditikam dengan pisau pemotong buah sebelum suspek melarikan diri.

Mangsa yang cedera pulang ke rumah dan kemudian dihantar oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Duchess of Kent, di sini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Zabidi Mohd Zain, berkata polis menerima panggilan daripada pihak hospital pada kira-kira jam 7.20 malam, yang melaporkan kejadian berkenaan.

Berikutan itu, polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat.

"Suspek dipercayai bermuka bujur, berbadan kurus, rambut pendek dan dianggar berusia dalam lingkungan 20-an," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Berita Harian X