Sabtu, 13 Ogos 2016 | 6:06pm

Pekerja Myanmar maut ditikam 2 rakan senegara

BATU PAHAT: Seorang warganegara Myanmar berusia 20 tahun maut dipercayai ditikam dua rakan senegaranya dalam kejadian di Taman Industri Sri Sulong dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Kuda, ditemui terbaring dengan dada dan badannya berlumuran darah dalam kawasan premis kilang tempat dia bekerja.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata kejadian disedari selepas majikan mangsa menemuinya dalam keadaan terbaring di kawasan kilang berkenaan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak berikutan kesan tikaman yang besar di bahagian kiri dadanya ketika sedang dalam perjalanan ke hospital.

"Siasatan awal mendapati mangsa bertengkar dengan dua lagi rakan sekerjanya dalam keadaan mabuk sebelum berlakunya pergelutan antara mereka.

"Dua rakan mangsa melarikan diri selepas menikam mangsa. Mangsa dan suspek juga tidak mempunyai sebarang dokumen dan permit pekerjaan, sekali gus menyukarkan polis untuk mengesan kedua-dua suspek yang masih bebas," katanya.

Berita Harian X