Rabu, 10 Ogos 2016 | 6:11pm

Lelaki parah ditikam isteri ketika bergaduh

FOTO hiasan. - Sumber Frontpage Mag
FOTO hiasan. - Sumber Frontpage Mag

SEREMBAN: Seorang lelaki cedera parah akibat ditikam oleh isterinya ketika perselisihan faham di rumah mereka di Taman Desa Rasah di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun, cedera parah di bahagian kiri perut akibat ditikam dengan pisau dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata wanita berusia 30 tahun itu dipercayai memegang pisau ketika perselisihan faham itu dan akibat tidak dapat menahan marah, dia menikam suaminya.

"Setakat ini, mangsa masih belum sedarkan diri, manakala suspek telah ditahan dan pisau berukuran 25 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dijumpai," katanya di sini, hari ini.

Katanya, suspek yang juga suri rumah dan ibu kepada dua anak, akan direman mulai esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata merbahaya.

Berita Harian X