Rabu, 3 Ogos 2016 | 5:29pm

Gadis benarkan kekasih guna kereta bapa untuk menyamun ditahan

SUBANG JAYA: Seorang gadis menerima padah apabila ditahan polis Jumaat lepas kerana dipercayai membenarkan kekasihnya, ketua Geng Ahmad, menggunakan kereta milik bapanya untuk melakukan samun bersenjata secara berkumpulan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari, berkata gadis berusia 21 tahun itu ditahan di Seksyen 9, Shah Alam pada 1 pagi Jumaat.

"Hasil pemeriksaan di rumah gadis itu, polis menemui kereta jenis Citroen merah dipercayai pernah digunakan dalam satu kes samun.

"Penahanan gadis itu membawa kepada tangkapan teman lelakinya iaitu suspek yang dikehendaki kerana dipercayai sering melakukan samun menggunakan senjata api di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohammad Azlin berkata, polis menahan ketua geng samun berusia 21 tahun itu pada 3.30 petang keesokannya di Subang Jaya.

Polis turut merampas sehelai baju hitam, topi, dompet, kasut, telefon pintar dan penutup mulut yang dipercayai digunakan suspek semasa menyamun.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan menggunakan pistol tiruan jenis Glock 19 yang disimpan seorang rakannya berumur 20 tahun yang turut ditahan di Seksyen 9, Shah Alam, pada pukul 8.10 malam hari yang sama.

"Polis merampas satu pistol tiruan dan susulan tangkapan lelaki berusia 20 tahun itu, polis menahan seorang lagi lelaki berumur 21 tahun di sebuah rumah di Taman Melawati pada 9.15 malam, kedua-duanya dipercayai anggota geng berkenaan," katanya.

Menurut Mohammad Azlin, modus operandi kumpulan itu ialah menyasarkan kedai serbaneka dan pasar mini di sekitar Lembah Klang dengan berpura-pura membeli barang sebelum mengacukan pistol kepada pekerja kedai untuk menyamun.

Katanya, dengan penahanan semua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan hampir 30 kes samun melibatkan kumpulan itu sejak awal tahun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana menyamun. - BERNAMA

Berita Harian X