Khamis, 28 Julai 2016 | 1:07pm

25,085 paket kopi tiruan dirampas

TIMBALAN Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Hamzah Mahadi, (kiri) bersama Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Rosley Abdullah (tiga dari kanan) dan Ketua Unit Perihal Dagangan negeri, Rohaimi Mohd Zawawi (dua dari kanan) bersama pegawai KPDNKK menunjukkan rampasan produk tiruan kopi herba ''Al Jannah Mahkota Dewa'' pada sidang media di Pejabat KPDNKK di Wisma Persekutuan, MITC Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka merampas 25,085 paket kopi tiruan bernilai RM56,418 dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di negeri ini, semalam.

Operasi bermula jam 11 pagi hingga 3 petang membabitkan sepasukan 15 anggota KPDNKK negeri itu menyerbu tiga premis perniagaan di sebuah pasar raya di Jasin, pasar mini di Pokok Mangga dan kedai runcit di Kota Melaka.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Hamzah Mahadi, berkata serbuan dibuat susulan aduan pihak pengeluar jenama terbabit yang mendakwa wujud kegiatan pengedaran kopi menyerupai jenama syarikatnya sejak lebih tiga bulan lalu.

"Berikutan itu, kita menyerbu tiga premis berkenaan dan merampas 17,940 paket kopi tiruan di sebuah pasar raya di Jasin bernilai RM43,970, sebanyak 7,040 paket bernilai RM12,320 di Kota Melaka dan 105 paket bernilai RM128 di Pokok Mangga.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap unit atau barangan yang diletak perihal dagangan palsu dan kesalahan kedua didenda tidak melebihi RM30,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hamzah berkata, pembekal kopi tiruan itu dikatakan beroperasi di sebuah premis di Ayer Keroh, namun serbuan mendapati premis berkenaan menjalankan kegiatan perniagaan bunga.

"Kami harap peniaga yang masih menjual produk kopi tiruan ini melupuskannya dan jika masih dijual, kami akan mengambil tindakan tegas," katanya.

Berita Harian X