Isnin, 25 Julai 2016 | 11:15am
Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.
Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

Suspek rogol ditahan di hospital

BATU PAHAT: Seorang lelaki yang melarikan diri selepas merogol seorang pekerja Vietnam di sebuah asrama pekerja di sini, ditahan polis ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), awal pagi tadi.

Suspek yang berusia 22 tahun itu ditahan pada jam 1.45 pagi oleh sepasukan polis ketika sedang menerima rawatan di HSNI akibat tikaman di belakang badannya dipercayai akibat pergelutan selepas merogol mangsa sebelum berjaya melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata lelaki berkenaan ditahan hasil makluman orang awam dan kes berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Katanya, lelaki berkenaan diburu polis kerana melarikan diri selepas merogol pekerja Vietnam berusia 30 tahun ketika wanita itu baru pulang ke asramanya di sini, petang semalam.

"Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang semalam itu, suspek yang juga lelaki tempatan itu berada di asrama berkenaan tiba-tiba menarik mangsa ke dalam bilik sebelum merogolnya.

"Namun ketika kejadian adik lelaki dan suami mangsa kebetulan pulang ke asrama dan sempat bergelut dengan suspek dan dia cedera ditikam di bahagian belakang sebelum berjaya melarikan diri.

"Gerakan memburu suspek digerakkan serta-merta selepas menerima laporan mangsa dan akhirnya suspek berjaya ditahan kira-kira jam 1.45 pagi tadi ketika sedang dirawat di HSNI hasil maklumat awam," katanya.

Abdul Wahib berkata, suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Berita Harian X