Sabtu, 23 Julai 2016 | 10:39pm

3 maut nahas 3 kenderaan

ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan Mitsubishi Triton yang terbabas di bahu jalan. - Foto ihsan JBPM Lahad Datu.
ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan Mitsubishi Triton yang terbabas di bahu jalan. - Foto ihsan JBPM Lahad Datu.

LAHAD DATU: Tiga penumpang sebuah pacuan empat roda termasuk seorang warga tua dan kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 26 Jalan Lahad Datu-Sandakan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, tiga yang maut ialah Norziah Abd Said, 22; Lasupu Padai, 66; dan Nadia Farhana, 4, semua penumpang Mitsubishi Triton yang berasal dari Kampung Paris, Kinabatangan.

Dua lagi penumpang pacuan empat roda terbabit parah, manakala pemandunya cedera ringan dalam kemalangan yang turut membabitkan dua lagi pacuan empat roda iaitu Isuzu D-Max dan Toyota Vigo.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad, berkata sebelum kejadian, Mitsubishi Triton itu dalam perjalanan dari Lahad Datu ke Sandakan, manakala Isuzu D-Max dan Toyota Vigo dari arah bertentangan.

"Apabila tiba di tempat kejadian, Mitsubishi Triton itu dipercayai gagal dikawal menyebabkan kenderaan terbabit terbabas di bahu jalan sebelah kanan.

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa dalam kenderaan pacuan empat roda yang terbabas dan terbalik menyebabkan tiga penumpangnya maut. - Foto ihsan JBPM Lahad Datu.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa dalam kenderaan pacuan empat roda yang terbabas dan terbalik menyebabkan tiga penumpangnya maut. - Foto ihsan JBPM Lahad Datu.

"Ketika hendak masuk semula ke jalan, kenderaan itu melanggar sebelah tepi kiri Toyota Vigo dan terbalik lalu melanggar Isuzu Dmax.

"Akibat kemalangan itu, dua mangsa iaitu penumpang kenderaan Mitsubishi Triton maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia di Hospital Lahad Datu," katanya di sini, sebentar tadi.

Pemandu dan tiga penumpang Isuzu D-Max serta pemandu Toyota Vigo tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin, berkata jentera bomba Lahad Datu tiba di lokasi kejadian pada jam 2.21 petang.

"Operasi tamat pada jam 3 petang," katanya.

Berita Harian X